Pembelajaran ketika PKP

 



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

 

Hari ini masyarakat dunia dikejutkan dengan pandemik wabak Covid-19 sekaligus memaksa agar norma baharu harus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan dan pemulihan. Para penuntut institusi pengajian tinggi juga terpalit sama dek wabak ini sekaligus mengubah cara pembelajaran daripada cara tradisional kepada yang lebih kelihatan moden iaitu dengan pembelajaran secara atas talian di rumah. Pada pendapat saya, terdapat beberapa kebaikan dan juga keburukan apabila mahasiswa terpaksa belajar melalui atas talian.

 

Antara kebaikan belajar dari rumah atau atas talian adalah mahasiswa dapat menjimatkan serba sedikit wang untuk kegunaan harian kerana majoriti para pelajar masih tinggal bersama ibu bapa.Hal ini sedikit sebanyak bukan sahaja meringankan beban pelajar malah ibu bapa daripada menyalurkan wang saku bulanan kepada anak-anak mereka. Selain itu, mahasiswa juga dapat belajar sambil meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga. Pada pendapat saya pembelajaran atas talian amat menjimatkan masa kerana mahasiswa boleh menghadiri kuliah pada masa yang diberikan tanpa perlu menaiki kenderaan atau berebut bas. Mahasiswa juga boleh menggunakan platform atas talian untuk merakam segala pembelajaran untuk diulangkaji.

 

Malangnya terdapat juga beberapa kesan buruk daripada pembelajaran di rumah. Salah satu keburukannya adalah mahasiswa menjadi tidak fokus kerana tanpa pemerhatian pensyarah, pasti ada sebahagian pelajar mengambil kesempatan dengan bermain-main dengan gadget dan seumpamanya. Pada pemerhatian saya lebih mudah untuk berhadapan dengan pensyarah berbanding bersemuka antara skrin kerana lebih mudah fokus dan memahami setiap pembelajaran dan mudah untuk bertanya jika terdapat sebarang ketidakfahaman. Seterusnya, dengan pembelajaran secara atas talian mahasiswa bergantung 100% kepada akses internet dan ini akan menyukarkan mereka yang mengalami masalah akses internet kerana tidak semua mahasiswa tergolong daripada yang berkemampuan dan terdapat juga sesetengah tempat yang tidak mempunyai perkhidmatan rangkaian yang baik.  

 

Cabaran yang akan dihadapi oleh mahasiswa adalah kesukaran untuk berinteraksi antara ahli kumpulan jika terdapat tugasan berkumpulan kerana tidak dapat berkumpul berbincang secara bersemuka. Kemudian, mahasiswa harus cekap terhadap penggunaan sistem baharu bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam apa-apa info.

 

Cadangan saya terhadap norma baharu ini adalah pihak berwajib hendaklah meluaskan rangkaian disamping memberi akses internet yang baik agar mahasiswa dapat melakukan pembelajaran dengan baik. Para pensyarah juga harus memberi perhatian terhadap prestasi pelajar dengan bertanya dan memberi sedikit lebih masa untuk pelajar membiasakan norma baharu ini. Pihak universiti juga hendaklah memastikan sistem laman sesawang mereka sentiasa stabil agar dapat diakses dengan mudah.

 

Kesimpulannya, semua pihak harus komited memainkan peranan masing-masing. Kebaikan dan keburukan itu juga bergantung kepada komitmen mahasiswa itu sendiri kerana mereka harus berusaha mencari jalan untuk tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Mahasiswa harus cakna terhadap sebarang pemberitahuan dan tugasan yang diberikan. Rakan-rakan mahasiswa juga haruslah bekerjasama untuk saling mengingatkan dan tolong menolong jika terdapat kesusahan yang dihadapi rakan mahasiswa yang lain. 

0 Comments

Game Developer, Designer

You may contact me for more inquiry